Wednesday, December 24, 2008

Dun Semerak anjur kem revolusi sahsiah bina akhlak remaja

Zuharman MN Sun Dec 21, 08 5:52:19 pm MYT

PASIR PUTEH, 21 Dis (Hrkh) - Sebagai mengisi masa lapang sempena musim cuti sekolah sekarang Majlis Tindakan Dun (MTD) Semerak menganjurkan Kem Revolusi Sahsiah sebagai usaha membina generasi cemerlang pada masa hadapan.

Kem itu diadakan di Masjid Pekan Cherang Ruku selama dua hari membabitkan hampir 300 peserta berusia 15 hingga 17 tahun. Turut serta ibu bapa sebahagian peserta.

Pelbagai aktiviti diadakan termasuk muhasabah diri, praktikal solat menurut sunnah dan motivasi revolusi sahsiah diri. Selain itu qiamullai dan zikir mathurat.

Anggota Exco kerajaan negeri, Wan Ubaidah Omar berkata, program tersebut amat sesuai diadakan memandangkan gejala sosial semakin gawat melanda masyarakat sekarang.

"Pendedahan mengenai ajaran-ajaran Islam melalui program berkenaan mampu melahirkan sikap ketakwaan di kalangan masyarakat khususnya golongan remaja.

"Memang patut satu revolusi digembelingkan di seluruh negara memandangkan sahsiah anak-anak sudah semakin gawat dan tambah celaru sehingga ramai remaja hilang pedoman," katanya ketika merasmikan program terbabit.

Hadir sama Adun Semerak, Wan Hassan Wan Ibrahim dan pemimpin masyarakat setempat.
Menurutnya berdasar kepada laporan media gejala penagihan dadah, mat rempit, rogol dan sumbang mahram semakin ramai membabitkan orang Melayu.

Wan Hassan berkata,MTD Semerak akan membuat tindakan susulan terhadap peserta dan ibu bapa yang terlibat dengan program berkenaan bagi memastikan keberkesanannya. - mj

No comments:

Post a Comment